Ahad, 21 Ogos 2016

Cara Pengurusan Stres

Sebagai seorang manusia, kita selalu sahaja menghadapi berbagai-bagai dugaan mahupun
cabaran dalam kehidupan kita sama ada yang ringan mahupun berat. Allah S.W.T telah
berfirman :
"Barang siapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, niscaya Dia
melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki
Allah kesesatannya, niscaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia
sedang mendaki langit. Begitulah Allah menimpakan siksa kepada orang-orang yang tidak
beriman. " (QS. Al An'aam, 6:125)
Dengan berpandukan ayat tersebut, maka dapat kita ketahui bahawasanya tanpa beribadah
kepada Allah S.W.T, hidup kita menjadi tidak tenteram, diri berasa gelisah dan sekeliling kita
menjadi huru-hara. Sebaliknya sekira kita beriman kepada-Nya, hidup kita menjadi tenteram
dan sihat rohani juga jasmani. Apabila berlakunya perkara yang tidak diigini ataupun dugaan
kepada diri, ia boleh menyebabkan kita berada dalam keadaan tekanan atau dengan bahasa
yang lebih tepat lagi stres.
Stres merupakan suatu penyakit yang sangat berbahaya untuk manusia kerana
seseorang yang berada dalam keadaan stres bukan sahaja menghadapi masalah gangguan
kejiwaan malah turut menyebabkan kerosakan pada tubuh mereka. Ia boleh mengancam
ketenteraman fikiran, perasaan dan kadangkala menjadi halangan bagi mereka kepada sesuatu
kecemerlangan. Tetapi, kadangkala stres juga boleh dilihat sebagai suatu unsur yang
membantu seseorang jika dikendalikan secara rapi dan strategik. Ini kerana stres dapat
membantu seseorang untuk melatih diri meningkatkan tahap kesabaran dan juga
mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa. Sudah menjadi lumrah manusia tatkala kesusahan
mencari TuhanNya.
Stres boleh didefinisikan sebagai reaksi manusia kepada perkara sekeliling atau yang
berkaitan dengan dirinya dengan cara yang di luar daripada yang dikehendakinya. Menurut
Selye (1980), stres bersifat tidak menentu dan kesannya juga tidak menentu. Faktor mental
boleh menyebabkan stres sama seperti faktor fizikal. Stres merupakan suatu keadaan apabila
usaha untuk memenuhi keperluan diri terancam atau tindak balas dalaman terhadap sebarang
ancaman yang didapati sukar untuk diterima atau dihadapi. Stres boleh terjadi apabila
pemikiran berada dalam keadaan celaru atau keliru.
Seseorang yang mengalami stres mengakibatkan perubahan pada wataknya, gaya
tindakannya terhadap persekitaran dan juga kepada prestasi kerjanya mahupun kerjayanya.
Mereka yang mengalami stres berkemungkinan juga akan mengalami kemurungan. Antara
ciri-ciri individu yang memiliki kemurungan ialah berat badan turun atau naik dengan serius,
perubahan pada tabiat tidur, tahap keyakinan diri turun mendadak, sering berasa letih, berasa
diri tidak berguna lagi dan tidak dapat menyumbang jasa kepada orang lain, hendak bunuh
diri dan mula terjebak dengan tabiat buruk. Perkara ini akan menjadi serius sekiranya tidak
ditangani dengan segera kerana individu yang berada di dalam keadaan stres
berkemungkinan akan mula memikirkan perkara-perkara yang negatif dan melakukannya
kerana ingin melepaskan tekanan yang dihadapi. Oleh yang demikian, langkah-langkah yang
betul perlu digunakan bagi menangani stres.
Antara perkara utama yang perlu dilakukan oleh seseorang individu tatkala diri berada
dalam tekanan atau stres ialah bermuhasabah diri. Lihat kepada keupayaan diri samada dari
sudut kelebihan dan juga kelemahan. Berfikiran positif tentang kelemahan diri dengan
mengatakan pada diri sendiri bahawa “Setiap manusia yang lahir di bumi ini mempunyai
kelemahan masing-masing dan kelemahan yang ini adalah kelemahan aku,”. Dengan cara itu,
ia dapat membantu kita berfikir bahawa mungkin ada yang mempunyai kelemahan yang lebih
teruk daripada kita.
Stres juga dapat ditangani dengan memperbaiki kemahiran pengurusan kendiri.
Perancangan sistematik, pengurusan masa, kaji kegiatan dan kaji keseimbangan dalam hidup
adalah antara perkara-perkara yang perlu diteliti supaya kehidupan kita dapat berjalan dengan
lancar. Bagi masalah yang dihadapi, individu tersebut perlu mengenal pasti masalah dan
mencari alternatif yang boleh digunakan dan melakukan tindakan terhadap masalah tersebut
agar diri tidak berterusan berada dalam keadaan tekanan atau stres. Pemakanan seimbang
juga perlu diamalkan bagi menjaga kesihatan tubuh badan daripada terjebak kepada sebarang
penyakit yang tidak diingini.
Antara aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan bagi mengelakkan stres ketika
menghadapi masalah ialah dengan membuat sesuatu yang boleh menyibukkan diri tanpa
memikirkan tentang masalah dan tidak menyusahkan orang disekeliling, melakukan aktiviti
yang menyeronokkan dan dapat memberikan kegembiraan kepada diri, mengambil cuti dan
pergi melancong ke tempat yang diingini, melakukan senaman, dan juga jangan dilupakan
beribadah kepadaNya kerana setiap sesuatu yang datang itu adalah daripadaNya dan juga
akan kembali kepadaNya.
Sekiranya langkah-langkah tersebut tidak diambil bagi menangani stres yang
dihadapi, seseorang individu itu akan cepat berasa bosan, bimbang, malu, rasa bersalah, cepat
marah, sayu, rendah diri dan berasa kesunyian. Individu tersebut juga akan mengakibatkan
masalah kepada kesihatannya seperti sakit dada, sakit jantung, migrain, hilang selera makan,
lemah tenaga, gastrik dan mengalami penyakit insomnia atau susah tidur. Manakala dari
sudut fisiologi pula, stres boleh mengakibatkan seseorang individu itu mengalami degupan
jantung yang kuat atau cepat, tekanan darah tinggi atau naik, berpeluh, sukar bernafas, seram
sejuk, tangan menggeletar dan lain-lain. Individu yang mengalami stres juga akan berada
dalam keadaan di mana sukar untuk membuat keputusan, kurang tumpuan kepada sesuatu,
mudah lupa dan menjadi terlalu sensitif.
Kesimpulannya, pengurusan stres yang baik dapat dilakukan dengan mengenal pasti
punca-punca stres dan mencari alternatif bagi menangani stres. Terdapat satu doa yang boleh
dibaca ketika mengahadapi stres menurut Al-Imam Al-Bukhari iaitu:
“Maksudnya: Cukuplah Allah untuk (menolong) kami dan ia sebaik-baik pengurus
(yang terserah kepadaNya segala urusan kami)”.
(Surah Al-Imran : 173)
“Menurut Al-Imam Al-Bukhari daripada Ibnu Abbas ayat atau doa ini boleh dibaca ketika
kita menghadapi masalah, tekanan atau stres”.
(Tafsir Fakhrurrazi, tafsir ayat 173 : Surah Al-Imran)
Seperti kata-kata pujangga, “Saat kamu melihat sisi buruk maka itu adalah stres. Saat kamu
melihat sisi baik itu adalah motivasi hidup”. Sekiranya langkah-langkah yang diambil bagi
menangani stres pada diri tidak berkesan dalam tempoh yang lama, berjumpalah dengan
pakar dan dapatkan bantuannya. Apa yang penting adalah usaha daripada diri sendiri untuk
mengelakkan daripada stres dan bagaimana cara mengatasinya. Segala yang dilakukan
keputusannya terletak di tangan Yang Maha Esa. Allah S.W.T yang menentukan segalagalanya.
Sekian.  Artikel Percuma| © HushimMotivational.com.my
Share:

0 ulasan:

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.

Sample Text