Jumaat, 10 April 2015

Rasulullah Tidak Menolong Orang Yang Membantu Pemimpin Zalim

An-Nukman Bin Basyir menceritakan bagaimana Rasulullah SAW pernah bertemu dengan beliau dan rakan-rakanya. Ketika itu, mereka berada di dalam masjid selepas solat isyak. Rasulullah memandang ke langit seolah-olah sesuatu yang menarik sedang berlaku di langit. Kemudian Rasulullah SAW berkata :
"Ingat, selepas ketiadaan saya, akan muncul pemimpin-pemimpin yang melakukan kezaliman dan penipuan. Siapa menerima penipuan mereka dan membantu mereka melakukan kezaliman, dia bukan daripada golongan saya dan saya juga bukan daripada golongannya.
Siapa yang tidak menerima pembohongan mereka dan tidak membantu mereka melakukan kezaliman, mereka adalah daripada golongan saya.
Ingat, darah setiap orang muslim itu ada balasannya. Ingat, kalimah Subhanallah wal hamdu lillah wa lailaha illallah, ia adalah amalan soleh yang paling kekal."
(Direkodkan oleh Ahmad)

Inti Sari
  • Dosa orang yang membantu seorang pemimpin melakukan kezaliman atau penipuan adalah sama dengan dosa pemimpin itu.
  • Larangan bersekongkol dengan pemimpin atau golongan yang melakukan kezaliman.
  • Anjuran agar menjauhkan diri daripada pemimpin yang zalim.
  • Rasulullah menafikan syafaatnya kepada pemimpin yang zalim dan pendusta serta mereka yang membantu pemimpin-pemimpin ini.
  • Berwaspada agar tidak termakan provokasi dan putar belit pemerintah yang mahu membodohkan rakyat.
  • Rasulullah mengiktiraf mereka yang menentang pemimpin yang zalim dan membangkang setiap tindakan yang jahat, sebagai golongan umat Muhammad.
  • Islam menerima hukuman balas atau qisas yang menuntut hukuman bunuh kepada mereka yang membunuh satu nyawa orang islam yang tidak berdosa.
  • Rasulullah menyarankan agar beramal dengan kalimah berikut kerana ia adalah amal soleh yang berkekalan. " Maha Suci Allah dan segala pujian bagi Allah, tiada tuhan melainkan Allah."
Sumber: -KHUTBAH RASULULLAH Wasiat Agung Buat Umat Tercinta- oleh Rohidzir Rais 
Share:

0 ulasan:

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.

Sample Text