SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang menjadikan hari Jumaat sebagai penghulu segala hari. Ia adalah satu perayaan yang ALLAH khaskan buat umat Islam pada setiap minggu. Kelebihan ini tidak dikecap umat terdahulu.
Dalam sebuah hadis, diriwayatkan Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Kami adalah (umat) yang datang kemudian yang pertama dan yang mendahului pada hari kiamat; walhal kitab diturunkan kepada mereka dahulu. Hari ini adalah hari yang ALLAH fardukan atas mereka tetapi mereka menyelisihkannya lalu ALLAH beri kita hidayah kepadanya. Manusia mengikuti kita dalam hal ini; Yahudi esok (Sabtu) dan Kristian lusa (Ahad)."
Pada hari Jumaat juga dianjurkan memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar kita Nabi SAW pada waktu siang dan malam sebelumnya. Ini kerana segala kebaikan yang diperoleh umat ini pada hari Jumaat dan hari-hari yang lain daripada kebaikan dunia dan akhirat adalah hasil daripada tunjuk ajar Baginda SAW.
Antara keistimewaan hari ini adalah dianjurkan untuk mandi, membersihkan diri, memakai wangian, menggosok gigi dan memakai sebaik-baik pakaian sebelum menghadiri solat Jumaat. Ini kerana hari Jumaat adalah hari perhimpunan umat Islam dan perayaan mingguan mereka. Maka wajarlah untuk seseorang Muslim itu berada dalam keadaan sebaik-baiknya sebagai tanda menghormati hari tersebut dan mengagungkannya.
Umat Islam pada hari Jumaat dianjurkan pergi awal ke masjid untuk solat Jumaat dengan berjalan kaki jika mampu. Berjalan kaki ke masjid, setiap ayunan langkah itu akan diberi ganjaran pahala puasa dan solat setahun.
Betapa besarnya pahala dijanjikan ALLAH bagi orang yang berjalan dan pergi awal solat Jumaat. Setiap ayunan langkahnya diberi ganjaran pahala puasa dan solat setahun. Ditambah lagi orang yang hadir awal ke solat Jumaat, sesudah masuk masjid dia melakukan solat sunat, berzikir dan membaca al-Quran dia memperoleh pahala yang sangat banyak. Tidak cukup dengan itu, malaikat terus menerus beristighfar untuknya sepanjang dia berada dalam masjid. Dan dia akan diberi pahala orang yang solat sepanjang dia duduk dalam masjid menanti dikumandangkan iqamat.
Sangat dikesali, kebanyakan manusia pada hari ini seolah-olah tidak mahu mengejar ganjaran pahala ini. Dia hanya hadir bersolat Jumaat pada saat-saat terakhir. Sebahagian yang lain sampai ketika khatib sedang berkhutbah. Tidak kurang juga yang sampai ketika iqamat dikumandangkan. Jelas mereka telah mengharamkan atas diri mereka ganjaran pahala yang sangat banyak gara-gara dilambatkan oleh syaitan. Betapa perlunya kita bertakwa kepada ALLAH dan berusaha sedaya upaya mendapatkan ganjaran pahala yang berlimpah ruah ini dengan datang awal ke solat Jumaat.
Juga di antara keistimewaan hari Jumaat, adanya khutbah Jumaat yang mengandungi puji-pujian terhadap ALLAH serta mengagungkan-Nya di samping kesaksian terhadap keesaan-Nya dan perakuan terhadap perutusan Rasul-Nya. Khatib juga akan mengingatkan sidang Jumaat akan hari akhirat serta persediaan yang perlu dilakukan untuknya dengan melaksanakan suruhan ALLAH serta menjauhi larang-Nya. Khutbah Jumaat adalah antara syarat sahnya solat Jumaat. Kerana itu, menghadiri khutbah Jumaat, diam dan mendengarnya adalah satu kewajipan atas jemaah.
Firman ALLAH: "Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan ia serta diamlah supaya kamu beroleh rahmat." (Surah Al-A’raaf: 204) Imam Ibnu Kathir RH menjelaskan, kewajipan diam dan dengar dalam ayat di atas adalah ketika khutbah Hari Raya Aidilfitri, Aidiladha, Jumaat dan ketika imam mengeraskan suaranya membaca al-Quran.
Maka diam dan mendengar khutbah Jumaat adalah satu kewajipan. Bahkan barang siapa yang tidak diam ketika khatib berkhutbah dia telah melakukan hal yang sia-sia. Dan barang siapa melakukan hal yang sia-sia, akan luputlah pahala Jumaatnya.
Justeru, menghadiri khutbah Jumaat, diam dan mendengarnya adalah satu tuntutan syarak kerana khutbah tersebut mengandungi peringatan buat hati yang lalai serta pengajaran buat orang yang jahil. Firman-Nya: "Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati ALLAH dan tinggalkanlah berjual-beli; yang demikian adalah baik buat kamu, jika kamu mengetahui." (Surah Al-Jumu’ah: 9). Semoga kita tergolong dalam kalangan mereka yang memperoleh pahala dan fadilat hari Jumaat.
0 ulasan:
Catat Ulasan