Definisi susuk ialah memasukkan sesuatu benda ke dalam tubuh dengan cara tertentu untuk tujuan tertentu. Biasanya susuk dipasang untuk tujuan kecantikan, kekuatan, awet muda dan penunduk. Pemakaian susuk biasanya melibatkan campur tangan jin yang dipuja bagi menjaga kawasan anggota yang dipakai susuk. Cara 'bersusuk' itu pada dasarnya menggunakan amalan sihir. Sebagaimana yang diketahui bahawa beramal dengan amalan sihir itu adalah syirik.
Perbuatan memakai susuk walau dengan apa niat dan cara sekali pun, hukumnya haram di sisi Islam berikutan penggunaannya mempunyai unsur syirik dan secara terang-terangan cuba mengubah kejadian Allah SWT.
Apabila pemakai susuk mula berasakan kelainan yang dikehendaki seperti menjadi perhatian ramai dan mendapat pujian kerana kecantikan, timbul perasaan semuanya berpunca daripada susuk digunakan. Pemakai susuk akan mula percaya dan seterusnya bergantung kepada susuk digunakan. Ketika itu, jelas mereka dalam keadaan syirik dan menanggung dosa besar, pemakai susuk juga disifatkan sebagai individu yang tidak mensyukuri pemberian Allah. Manusia adalah sebaik-baik kejadian dan setiap manusia perlu menghargai kesempurnaan yang diberi.
Bagi yang telah terlanjur memakai susuk, bertaubatlah dan berusahalah berjumpa dengan pakar-pakar perubatan Islam yang mahir untuk mengeluarkan susuk tersebut, mudah-mudahan Allah menerima taubat kita. Wallahu a'lam.
0 ulasan:
Catat Ulasan